.

.

Monday 6 March 2017

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN GOPENG BERKENAAN ISU BR1M DAN SSM



Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat. Ini adalah tema bajet 2017 yang dibentangkan oleh YAB DS Najib Tun Abdul Razak ketika pembentangan bajet 2017 yang lalu.
2. Menerusi tema ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dinaikkan lagi dan mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat. BR1M adalah satu inisiatif pihak kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat yang berpendapatan rendah dengan kos sara hidup yang tinggi.
3. Sejak BR1M ini diperkenalkan setiap tahun tanpa gagal, program ini terus mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat positif daripada rakyat. Bagi tahun 2017, kadar BR1M telah dinaikkan mengikut kategori dan keseluruhan program ini akan memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion.
4. Kita amat menghargai usaha kerajaan yang berterusan membantu rakyat menerusi inisiatif BR1M dalam suasana ekonomi dan kos sara hidup yang tidak menentu kebelakangan ini. Namun, pelaksanaan BR1M pada tahun ini amat mendukacitakan. Bermula dengan tarikh agihan yang berubah-ubah sehinggalah syarat pemohon BR1M yang memiliki SSM tidak lulus permohonan mereka dengan alasan perlu mendapat pengesahan pendapatan daripada SSM.
5. Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gopeng mengambil berat hal ini memandangkan ramai anak muda telah memiliki SSM atas usaha kerajaan menggalakkan mereka mendaftarkan perniagaan. Namun mereka hanya menggunakan personal akaun dan tidak mampu lagi untuk membuka akaun semasa khas untuk perniagaan. Kebanyakan mereka juga hanya menjalankan perniagaan secara separuh masa dan kecil-kecilan dengan pendapatan yang tidak tinggi. Bukan semua perniagaan kecil-kecilan mendapat keuntungan melebihai RM4000 sebulan. Mereka ini adalah penerima BR1M setiap tahun tanpa gagal. Akaun peribadi yang digunakan adalah akaun yang sama digunakan oleh LHDN untuk memeriksa kelayakan mereka.
6. Persoalannya, mengapa hal ini berlaku. Mengapa pihak MOF melalui LHDN tidak memperhalusi kaedah agihan BR1M yang telah masuk tahun ke 5 perlaksanaannya. Adakah sistem LHDN begitu lemah atau mengambil mudah sahaja hinggakan tidak mampu mengesan status pendapatan anak-anak muda ini. Ini menyusahkan mereka untuk hadir ke SSM memohon pengesahan pendapatan.
Semua dasar kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Najib Tun Razak adalah terhadap kesejahteraan rakyat tetapi apabila masuk ke fasa perlaksanaan maka macam-macam akan jadi.
7. Oleh yang demikian, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gopeng mendesak kerajaan agar pada masa hadapan kerajaan perlu dan harus lebih menumpukan perhatian terhadap fasa perlaksanaan apa-apa dasar kerajaan agar usaha murni mensejahterakan rakyat berjalan dengan lancar.
8. MOF dan LHDN perlu memperhalusi semula kaedah mereka berkaitan SSM ini dan meluluskan segera permohonan BR1M mengikut tarikh yang telah diwar-warkan oleh YAB DS Najib Tun Abd Razak. Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gopeng juga mendesak pihak MOF dan LHDN mempermudahkan urusan dan proses permohonan BR1M bagi pemohon yang memiliki SSM.
Mohamad Adli Bin Mohd Tahiruddin
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gopeng

No comments:

Post a Comment